SEKOLAH BESTARI

Apakah perbezaan antara sekolah yang sedia ada Sekolah Bestari?
Apakah Sekolah Bestari?
Mengapakah kita memerlukan Sekolah Bestari?
Siapakah yang mula-mula mengkonsepsikan Sekolah Bestari?



Apakah perbezaan antara sekolah yang sedia ada Sekolah Bestari?

Apabila dilaksanakan sepenuhnya, ciri-ciri berikut akan dilihat pada sekolah yang telah menjadi sekolah bestari:
Semua murid berupaya belajar mengikut keperluan, kebolehan dan gaya pembelajaran masing-masing.
Guru akan mengadaptasi kurikulum kebangsaan yang luas dengan mengambilkira keperluan dan kebolehan murid supaya selaras dengan pengalaman murid.
Persekitaran sekolah adalah kondusif untuk aktiviti pembelajaran, menggalakkan murid mengamalkan gaya pembelajaran akses kendiri, terarah kendiri dan berkadar kendiri dengan guru sebagai fasilitator untuk menggalakkan minat belajar secara berterusan.
Pentaksiran murid dijalankan secara berterusan dan digunakan untuk menggalakkan pembelajaran.
Pengetua atau Guru Besar sekolah akan bertindak sebagai pemimpin pendidikan dan disokong oleh sekumpulan tenaga pengajar yang profesional dan berkaliber.
Tahap penglibatan dan sokongan ibu bapa dan komuniti adalah tinggi. Contohnya, ibu bapa akan terlibat sama dalam menentukan program pembelajaran anak-anak mereka. Mereka juga akan membantu guru-guru yang memerlukan bantuan dalam menjalankan aktiviti-aktiviti dalam dan luar bilik darjah serta lawatan sambil belajar.

Apakah Sekolah Bestari?

Sekolah Bestari Malaysia ialah institusi pembelajaran yang direka semula secara sistemik sistemik dari segi amalan pengajaran-pembelajaran dan pengurusan sekolah untuk membantu kanak-kanak menghadapi Zaman Maklumat.
Komponen utama Sekolah Bestari adalah seperti berikut:
Pengajaran dan Pembelajaran (P&P)
Sistem Pengurusan Sekolah Bestari
Polisi
Sumber Manusia, Kemahiran dan Sikap
Teknologi
Proses
Komponen-komponen ini akan dinilai dan diubah untuk memastikan tahap kecekapan dan keberkesanan yang lebih tinggi.


Mengapakah kita memerlukan Sekolah Bestari?

Sekolah Bestari akan membantu negara melonjak ke Zaman Maklumat dengan membekalkan pendidikan yang diperlukan untuk memenuhi keperluan masa hadapan negara.


Siapakah yang mula-mula mengkonsepsikan Sekolah Bestari?

Kementerian Pelajaran Malaysia telah mula membangunkan konsep Sekolah Bestari pada tahun 1996, di bawah kepimpinan Tan Sri Dato' Dr. Wan Zahid Wan Mohamed, Ketua Pengarah Pelajaran Malaysia waktu itu.

Kelas & Latihan ICT Selepas Waktu Persekolahan

Sasaran Celik Komputer Tercapai

LIMA BELAS tahun dahulu, akhbar Utusan Malaysia menyiarkan berita futuristik - Pelajar bawa disket ke sekolah 2010.

Pada ketika itu, segelintir daripada kita terrfikir bahwa disket akan menggantikan buku. Lebih 'terlampau' lagi, ada yang mula musykil dengan peranan guru pada era teknologi maklumat dan komunikasi (ICT).

Rupa-rupanya tidak jadi begitu - kerana sekarang baru kita benar-benar faham bahawa ICT hanya pengupaya dan alat kepada proses pengajaran dan pembelajaran (P&P).

Selang dua atau tiga tahun kemudian, disket sudah tidak relevan kerana kapasiti terhad. Maka, selepas itu muncul pula CD-ROM. Masa terus berubah, muncul pula pen drive, blue tooth danbroadband dan sebagainya - sehingga kita 'tak terkejar' akan kepantasan teknologi itu.

Kini, semuanya ada. Macam-macam ada. Yang pasti, peranan guru tetap nombor satu. Reka bentuk teknologi berubah dengan pantas, dan pengisian juga diubah suai dengan keperluan teknologi itu. Ada juga yang berpendapat sebaliknya, teknologi itu sendiri yang berubah mengikut perubahan kandungan. Waima apa pun, teknologi tetap berubah.

Apa yang saya rasai ialah aplikasi boleh diterima dengan cepat, tetapi tidak dengan integrasi. Mungkin pada 15 tahun yang lalu, kita tidak cukup pengetahuan bahawa aplikasi dan integrasi adalah dua disiplin ilmu yang berbeza. Kandungan pula adalah roh yang dikandung oleh aplikasi dan integrasi. Sungguh rumit dan banyak kerjanya.

Sebab itulah, banyak perdebatan yang meletakkan kepentingan kepada salah satu, atau gabungan dua, atau gandingan ketiga-tiganya - iaitu aplikasi, integrasi dan kandungan - oleh pelbagai cendekiawan yang pelbagai latar belakang ilmunya.

ICT merupakan komponen yang sangat penting dalam pendidikan. Bukan sahaja ICT dapat membantu pelajar menimba ilmu tanpa batasan, tetapi menjadikan mereka lebih cekap dan cepat menyiapkan sesuatu tugasan.

Dengan beberapa perisian dan perkakasan yang sesuai, pekerjaan bukan sahaja menjadi lebih cepat, tetapi juga lebih kemas, kurang berlakunya kesilapan bahasa, bahan boleh dimanipulasi sehingga menimbulkan impak yang tertentu serta menyeragamkan pemahaman tentang sesuatu perkara oleh pelbagai latar belakang khalayak.

Secara umumnya, program pembestarian sekolah telah berjaya mengatasi satu isu - celik komputer dan merapatkan jurang digital - atau aplikasi.

Perkara ini boleh dilihat kepada indeks penggunaan serta jumlah perdagangan IT dan transaksi komunikasi yang bertambah lebih sekali ganda dalam tempoh 10 tahun. Kita perlu mengambil kesempatan daripada pencapaian ini untuk memujuk para pemegang saham untuk terus melabur tenaga, masa dan sumber dalam usaha program pembestarian sekolah yang sedang giat berjalan sekarang melalui apa yang dikenali sebagai Jerayawara Pembestarian Sekolah.

Melalui pengamatan Program Jerayawara Pembestarian Sekolah di Pulau Pinang dan Pahang, maka dapat dirasai bahawa kesedaran ibu bapa untuk menyokong program ICT di sekolah anak masing-masing agak rendah. Hal ini kerana kedatangan ibu bapa yang agak mengecewakan.

Namun, hal ini tidak bermakna ibu bapa tidak tahu menahu langsung tentang ICT. Malah sebahagian ibu memberitahu mereka menggunakan Internet untuk menyebarluaskan produk perniagaan industri kecil dan sederhana mereka. Ada juga yang baru hendak berjinak-jinak dan menunjukkan minat yang luar biasa.

Hal ini membuktikan bahawa apa sahaja yang memudahkan, akan dapat diterima. Fenomenanya seperti kejayaan AirAsia melalui tempahan tiket dalam talian atau Maybank2U dalam transaksi perbankan.

Formula kejayaan yang sama itu boleh dikongsi bersama-sama dalam menjayakan program pembestarian sekolah, khususnya yang melibatkan ibu bapa dan ketua masyarakat setempat.

Kejayaan bersama ini seharusnya melibatkan masyarakat, sekolah, Kementerian Pelajaran Malaysia, pegawai pendidikan di negeri dan pihak industri.

Sejauh mana penglibatan pihak yang disebutkan ini sangat kritikal untuk mewujudkan pertautan yang seimbang, sejajar dengan hasrat memupuk agenda ICT merentas cara hidup.

Dalam edisi rangka kerja sekolah bestari 2005 - 2020, terdapat empat objektif yang hendak dicapai menjelang tahun 2020 iaitu akses kepada pendidikan berkualiti, bahan P&P yang berkualiti untuk semua, mengecilkan jurang maklumat dan pembangunan sumber tenaga manusia melalui ICT.

Setelah melalui tiga gelombang sebelum ini - perintisan (1999-2002), pasca perintisan (2001-2005) dan pembestarian sekolah (2005-2010), didapati sebahagian daripada odisi itu sudah tercapai, khususnya usaha mengurangkan jurang maklumat.

Hal ini bukan sahaja berlaku akibat kesan program khusus sekolah bestari, tetapi juga melalui program nasional yang digerakkan sendiri oleh kerajaan sejak era Tun Dr. Mahathir Mohamad sehingga sekarang.

Namun begitu, banyak lagi usaha yang perlu dilakukan dan sebenarnya kita berada dalam tempoh masa yang kritikal. Sesuatu yang konkrit mesti dilaksanakan dan digerakkan supaya gelombang ketiga dapat dilaksanakan sepenuhnya, sebelum memasuki gelombang keempat iaitu menjadikan teknologi sebagai pengupaya sepenuhnya dalam P&P (2010-2020).

Semoga semua pihak memberi sokongan padu kepada program Jerayawara Pembestarian Sekolah.


Sumber : http://www.utusan.com

Memanfaatkan peranan ibu bapa di dalam peningkatan pengintegrasian ICT di sekolah

SAMBUTAN Hari Guru tahun ini seperti lazimnya, tidak kurang hebatnya. Saya berpeluang untuk turut serta dalam sambutan tahun ini yang diadakan dengan jayanya di Kuantan, Pahang menerusi pameran sekolah bestari.

Di pameran tersebut, kami telah mempamerkan hasil penarafan sekolah-sekolah di Pahang berdasarkan piawaian kelayakan sekolah bestari (Smart School Qualification Standards, SSQS), dan perisian berasaskan teknologi maklumat dan komunikasi (ICT).

Berdasarkan pemerhatian saya selama tiga hari saya berinteraksi bersama ibu bapa di tapak pameran tersebut, terdapat dua perkara utama yang boleh dijadikan panduan untuk pihak pentadbir sekolah dan guru-guru meningkatkan keyakinan serta penglibatan ibu bapa. Pihak sekolah wajar meneliti dan mengatur langkah strategik berdasarkan pemerhatian ini ke arah peningkatan prestasi sekolah.

Perkara pertama yang amat memberansangkan saya ialah kesedaran ibu bapa terhadap peranan ICT di dalam memperkayakan pengalaman pembelajaran anak-anak. Ibu bapa dilihat memberi galakkan dan tunjuk ajar kepada anak-anak untuk mencuba perisian yang dipamerkan.

Ini bermaksud ibu bapa mempunyai keyakinan serta pengetahuan tentang peranan ICT di dalam membantu anak-anak meningkatkan daya pembelajaran. Maka, peranan guru wajar membuktikan kesinambungan di antara keyakinan dan kepekaan ibu bapa dengan kemahiran guru untuk memperkayakan aktiviti pembelajaran menerusi pengintegrasian ICT.

Guru-guru telah pun terlatih untuk menggunakan ICT. Kini kemahiran tersebut haruslah digunakan untuk mengintegrasikan ICT dalam aktiviti pengajaran dan pembelajaran (P&P).

Jika kemahiran pengintegrasian kurang, pihak sekolah wajar mengadakan sesi peningkatan kemahiran. Hal ini boleh diadakan secara tidak formal berdasarkan perkongsian amalan terbaik oleh guru-guru yang lebih berpengalaman.

Perkara kedua yang diperhatikan ialah keprihatinan ibu bapa terhadap tahap pembudayaan pengintegrasian ICT sekolah hasil dari penarafan 1 hingga 5 bintang berdasarkan piawaian kelayakan sekolah bestari. Ibu bapa begitu berminat untuk mengetahui prestasi sekolah anak masing-masing dari segi pengintegrasian ICT.

Soalan-soalan yang diajukan membuktikan kesediaan ibu bapa untuk mendorong dan menyokong pihak sekolah dalam usaha untuk mempertingkat pengayaan penyampaian pembelajaran dan pengajaran menggunakan ICT.

Oleh itu pihak sekolah perlu membangunkan strategi untuk melibatkan ibu bapa dalam aktiviti berteraskan ICT. Ini tidak harus tertumpu pada meminta bantuan kewangan untuk membeli peralatan komputer sahaja. Dua contoh tindakan yang boleh diatur oleh pihak sekolah.

Pihak sekolah boleh mengadakan aktiviti untuk menghuraikan pelan pengintegrasian ICT sekolah kepada ibu bapa. Ini boleh memberi kefahaman yang mendalam tentang pendekatan pedagogi menggunakan ICT yang akan digunakan oleh guru-guru.

Justeru, ibu bapa boleh memberi sokongan yang lebih bermakna sama ada kepada pihak sekolah atau pun di rumah bersama anak-anak.

Selain itu, pihak sekolah juga boleh meminta sokongan ibu bapa bertujuan meningkatkan kemahiran guru-guru untuk mengintegrasikan ICT. Malah, ada amalan terbaik di mana Ibu bapa memberi sokongan dari segi mendapatkan kepakaran yang diperlukan.

Jelas sekali, pihak sekolah tidak boleh lagi member alasan yang ibu bapa tidak menyokong peggunaan ICT di sekolah, Malah, pihak sekolah harus membuktikan innovasi pendekatan penyampaian P&P menggunakan ICT di mana berpatutan. Dengan begini, maka sejajarlah perkembangan guru dengan tema Hari Guru tahun ini iaitu Guru Pembina Negara Bangsa.

Sumber : http://www.tutor.com.my/