Sasaran Celik Komputer Tercapai

LIMA BELAS tahun dahulu, akhbar Utusan Malaysia menyiarkan berita futuristik - Pelajar bawa disket ke sekolah 2010.

Pada ketika itu, segelintir daripada kita terrfikir bahwa disket akan menggantikan buku. Lebih 'terlampau' lagi, ada yang mula musykil dengan peranan guru pada era teknologi maklumat dan komunikasi (ICT).

Rupa-rupanya tidak jadi begitu - kerana sekarang baru kita benar-benar faham bahawa ICT hanya pengupaya dan alat kepada proses pengajaran dan pembelajaran (P&P).

Selang dua atau tiga tahun kemudian, disket sudah tidak relevan kerana kapasiti terhad. Maka, selepas itu muncul pula CD-ROM. Masa terus berubah, muncul pula pen drive, blue tooth danbroadband dan sebagainya - sehingga kita 'tak terkejar' akan kepantasan teknologi itu.

Kini, semuanya ada. Macam-macam ada. Yang pasti, peranan guru tetap nombor satu. Reka bentuk teknologi berubah dengan pantas, dan pengisian juga diubah suai dengan keperluan teknologi itu. Ada juga yang berpendapat sebaliknya, teknologi itu sendiri yang berubah mengikut perubahan kandungan. Waima apa pun, teknologi tetap berubah.

Apa yang saya rasai ialah aplikasi boleh diterima dengan cepat, tetapi tidak dengan integrasi. Mungkin pada 15 tahun yang lalu, kita tidak cukup pengetahuan bahawa aplikasi dan integrasi adalah dua disiplin ilmu yang berbeza. Kandungan pula adalah roh yang dikandung oleh aplikasi dan integrasi. Sungguh rumit dan banyak kerjanya.

Sebab itulah, banyak perdebatan yang meletakkan kepentingan kepada salah satu, atau gabungan dua, atau gandingan ketiga-tiganya - iaitu aplikasi, integrasi dan kandungan - oleh pelbagai cendekiawan yang pelbagai latar belakang ilmunya.

ICT merupakan komponen yang sangat penting dalam pendidikan. Bukan sahaja ICT dapat membantu pelajar menimba ilmu tanpa batasan, tetapi menjadikan mereka lebih cekap dan cepat menyiapkan sesuatu tugasan.

Dengan beberapa perisian dan perkakasan yang sesuai, pekerjaan bukan sahaja menjadi lebih cepat, tetapi juga lebih kemas, kurang berlakunya kesilapan bahasa, bahan boleh dimanipulasi sehingga menimbulkan impak yang tertentu serta menyeragamkan pemahaman tentang sesuatu perkara oleh pelbagai latar belakang khalayak.

Secara umumnya, program pembestarian sekolah telah berjaya mengatasi satu isu - celik komputer dan merapatkan jurang digital - atau aplikasi.

Perkara ini boleh dilihat kepada indeks penggunaan serta jumlah perdagangan IT dan transaksi komunikasi yang bertambah lebih sekali ganda dalam tempoh 10 tahun. Kita perlu mengambil kesempatan daripada pencapaian ini untuk memujuk para pemegang saham untuk terus melabur tenaga, masa dan sumber dalam usaha program pembestarian sekolah yang sedang giat berjalan sekarang melalui apa yang dikenali sebagai Jerayawara Pembestarian Sekolah.

Melalui pengamatan Program Jerayawara Pembestarian Sekolah di Pulau Pinang dan Pahang, maka dapat dirasai bahawa kesedaran ibu bapa untuk menyokong program ICT di sekolah anak masing-masing agak rendah. Hal ini kerana kedatangan ibu bapa yang agak mengecewakan.

Namun, hal ini tidak bermakna ibu bapa tidak tahu menahu langsung tentang ICT. Malah sebahagian ibu memberitahu mereka menggunakan Internet untuk menyebarluaskan produk perniagaan industri kecil dan sederhana mereka. Ada juga yang baru hendak berjinak-jinak dan menunjukkan minat yang luar biasa.

Hal ini membuktikan bahawa apa sahaja yang memudahkan, akan dapat diterima. Fenomenanya seperti kejayaan AirAsia melalui tempahan tiket dalam talian atau Maybank2U dalam transaksi perbankan.

Formula kejayaan yang sama itu boleh dikongsi bersama-sama dalam menjayakan program pembestarian sekolah, khususnya yang melibatkan ibu bapa dan ketua masyarakat setempat.

Kejayaan bersama ini seharusnya melibatkan masyarakat, sekolah, Kementerian Pelajaran Malaysia, pegawai pendidikan di negeri dan pihak industri.

Sejauh mana penglibatan pihak yang disebutkan ini sangat kritikal untuk mewujudkan pertautan yang seimbang, sejajar dengan hasrat memupuk agenda ICT merentas cara hidup.

Dalam edisi rangka kerja sekolah bestari 2005 - 2020, terdapat empat objektif yang hendak dicapai menjelang tahun 2020 iaitu akses kepada pendidikan berkualiti, bahan P&P yang berkualiti untuk semua, mengecilkan jurang maklumat dan pembangunan sumber tenaga manusia melalui ICT.

Setelah melalui tiga gelombang sebelum ini - perintisan (1999-2002), pasca perintisan (2001-2005) dan pembestarian sekolah (2005-2010), didapati sebahagian daripada odisi itu sudah tercapai, khususnya usaha mengurangkan jurang maklumat.

Hal ini bukan sahaja berlaku akibat kesan program khusus sekolah bestari, tetapi juga melalui program nasional yang digerakkan sendiri oleh kerajaan sejak era Tun Dr. Mahathir Mohamad sehingga sekarang.

Namun begitu, banyak lagi usaha yang perlu dilakukan dan sebenarnya kita berada dalam tempoh masa yang kritikal. Sesuatu yang konkrit mesti dilaksanakan dan digerakkan supaya gelombang ketiga dapat dilaksanakan sepenuhnya, sebelum memasuki gelombang keempat iaitu menjadikan teknologi sebagai pengupaya sepenuhnya dalam P&P (2010-2020).

Semoga semua pihak memberi sokongan padu kepada program Jerayawara Pembestarian Sekolah.


Sumber : http://www.utusan.com