KELMARIN adalah hari bersejarah bagi Sekolah Menengah Kebangsaan Bukit Pasir di Muar, Johor kerana dilawati Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin yang juga Menteri Pelajaran. Sekolah itu adalah satu-satunya sekolah di bawah projek SchoolNet yang dilengkapi infrastruktur fiber optik, di luar Lembah Klang.
Infrastruktur fiber optik itu membuka satu ‘lebuh raya jalur lebar’ yang menyediakan sekolah berkenaan dengan sambungan jalur lebar pada kelajuan 10Mbps. Infrastruktur fiber berkeupayaan menampung kelajuan yang lebih tinggi pada bila-bila masa bagi memberikan akses internet pantas untuk aplikasi yang memerlukan jalur lebar tinggi dan pemindahan data serta sidang video. Buat masa ini, infrastruktur itu dilaksanakan di lima sekolah di Cyberjaya, 20 sekolah di Putrajaya dan sebuah sekolah di Muar.
Sambungan jalur lebar juga merintis kemungkinan untuk masyarakat berhubung, berkomunikasi dan berkolaborasi dengan seluruh dunia.
Selaku pembekal infrastruktur jalur lebar yang terbabit dalam projek itu, TM mempamerkan aplikasi pengajaran dan pembelajaran menggunakan jalur lebar berkelajuan 10Mbps seperti podcasting, sidang video dengan Sekolah Seri Puteri dan Portal SchoolZone. Pengurusan LAN turut dipamerkan bagi menguruskan infra struktur dan prasarana ICT di sekolah berkenaan.
SchoolNet yang dibangunkan pada 2004 dengan sasaran melengkapkan sehingga 10,000 sekolah di negara ini dengan akses internet jalur lebar itu adalah antara usaha memenuhi aspirasi kerajaan bagi mewujudkan sistem pendidikan bertaraf dunia dan melahirkan masyarakat berasaskan pengetahuan.
SchoolNet adalah rangkaian persendirian maya yang menyediakan sambungan internet jalur lebar ke sekolah dan ia adalah pendekatan terbaru sistem pendidikan negara bagi menyediakan kemudahan pembelajaran melangkaui bilik darjah.
Idea projek SchoolNet itu dicetuskan Kementerian Tenaga, Air dan Komunikasi serta Kementerian Pelajaran. Susulan itu, GITN Sdn Bhd (GITN), anak syarikat Telekom Malaysia Berhad (TM) menawarkan pelbagai infrastruktur, perkakasan dan perisian kepada agensi kerajaan, diberi tanggungjawab sebagai pengurus projek bagi melaksanakan SchoolNet menerusi Rangkaian Persendirian Maya Internet (IPVPN).
GITN menawarkan infrastruktur melalui tiga jenis teknologi iaitu teknologi Talian Pelanggan Digital Asimetrik (ADSL), tanpa wayar dan Satelit Terminal Kecil (VSAT), yang menyediakan sambungan jalur lebar pada kelajuan sehingga 4Mbps.
SchoolNet menawarkan pelbagai aplikasi kepada penggunanya, termasuk aplikasi komunikasi elektronik seperti e-mel dan kumpulan berita, aplikasi akses jarak jauh, aplikasi pemindahan dokumen, aplikasi pengedaran maklumat dan aplikasi pencarian maklumat.
Melalui SchoolNet, pelajar di seluruh negara akan mendapat faedah daripada akses jalur lebar dan aplikasi internet. SchoolNet mewujudkan satu persekitaran pembelajaran lebih dinamik yang memberikan akses pantas kepada maklumat pendidikan online serta komunikasi interaktif.
Pelaksanaan SchoolNet ini mampu meningkatkan perkongsian ilmu dengan mengoptimumkan tenaga pengajar pakar di negara ini. Melalui teknologi ini, seorang guru pakar mampu mengajar sesuatu mata pelajaran melebihi daripada satu kelas di sekolah yang sama dan sekolah lain.
Selain itu, guru di sekolah SchoolNet boleh memanfaatkan infrastruktur berkenaan bagi mengubah bilik darjah mereka menjadi persekitaran menarik justeru dapat menambah minat pelajar terhadap pendidikan.
Bagi menjadikannya lebih menarik, portal web untuk SchoolNet yang dikenali sebagai SchoolZone, diperkenalkan pada 2008 bertujuan menjadi portal sehenti untuk komuniti sekolah berkenaan. Di portal web itu, pelajar dan guru boleh mendapatkan maklumat mengenai sekolah lain dan SchoolNet, berkongsi maklumat mengenai sekolah masing-masing dan berkomunikasi antara satu sama lain serta mengoptimumkan peranan guru berkemahiran di negara ini.
Dengan teknologi ini, seorang guru yang berkemahiran boleh mengajar sesuatu subjek kepada bilangan bilik darjah lebih banyak di sekolah sama dan sekolah lain. Portal SchoolZone untuk SchoolNet ini membolehkan guru berkongsi modul pembelajaran dan pengajaran interaktif sesama mereka.
Selain itu, komuniti sekolah juga boleh menggunakan portal itu untuk berkomunikasi dengan komuniti dari sekolah lain dalam lingkungan komuniti SchoolZone itu. Fasilitator SchoolZone akan melatih guru IT di sekolah berkenaan untuk memanfaatkan sepenuhnya portal SchoolZone itu.
Bagi memastikan SchoolNet dimanfaatkan sepenuhnya, pada Januari 2008, satu program sekolah angkat dengan kerjasama Kementerian Pelajaran dilaksanakan dan dikenali sebagai Teknologi Pembelajaran Dalam Sekolah GITN (GTL Schools).
Program GTL membabitkan 50 sekolah di seluruh negara, kebanyakannya di pedalaman dan luar bandar. Sekolah ini dipilih berdasarkan kadar penggunaan SchoolNet yang rendah.
Justeru melalui program ini, diharapkan sekolah berkenaan akan menggunakan sepenuhnya prasarana SchoolNet untuk penambahbaikan proses pembelajaran dan pengajaran di sekolah masing-masing.
Bagi tujuan ini, sudut IT diwujudkan di makmal komputer sekolah terpilih, termasuklah menaikkan taraf komputer dan menyediakan lima komputer baru, kamera digital dan kamera Web/Headset kepada sekolah terbabit.
Sumber : Berita Harian Online