Tokoh Peramal ICT Islam

Syeikh Ahmad al-Fathani

Dilahirkan di Kampung Jambu, Negeri Jerim, Patani pada 10 April 1856 dengan nama Syeikh Wan Ahmad bin Wan Muhammad Zain bin Wan Mustafa bin Wan Muhammad bin Wan Muhammad Zainal Abidin, Syeikh Ahmad al-Fathani disifatkan sebagai pemikir terbesar dunia Melayu dalam semua aspek merangkumi dunia dan akhirat. Kajian dan penyelidikan mendapati beliau menguasai 47 bidang ilmu termasuk politik, ekonomi, seni, budaya dan pentadbiran.

Pengkaji sejarah ulama Nusantara, Wan Mohd Shaghir Abdullah, 60, berkata pemikiran Syeikh Ahmad al-Fathani tidak terbatas kepada bidang agama semata-mata, malah lebih daripada itu - merentasi dunia politik, seni bina, seni halus, budaya, ekonomi, kejuruteraan dan banyak lagi.

Syeikh Ahmad al-Fatani juga katanya, seorang ahli fikir yang hebat dari segi politik, pemerintahan dan pentadbiran negara. Pemikirannya dalam bidang ini terserlah menerusi harapan dan wasiat yang ditulisnya untuk raja-raja Melayu di kerajaan Patani, Kelantan, Terengganu, Johor dan Deli.

“Pemikiran Syeikh Ahmad al-Fathani sebenarnya menjangkau masa. Apa yang beliau lihat lebih 100 tahun dapat disaksikan pada masa ini. Pemikiran itu sebenarnya masih releven hingga kini,” kata Wan Mohd Shaghir.

Contohnya, kata beliau, Syeikh Ahmad al-Fathani pada zamannya sudah
melihat kewujudan dan kepentingan teknologi komunikasi dan maklumat (ICT). Beliau sudah memikir dan membuat gambaran mengenai penggunaan alat komunikasi yang membolehkan manusia berinteraksi dengan lebih pantas.

Pemikiran beliau mengenai ICT dapat dilihat dalam manuskrip
Mir-atul A'ajib dan Hadiqatul Azhar yang menyatakan: "Dan datang kepada mereka itu sekalian khabar-khabar dari jauh-jauh jajahan dalam beberapa lahzah (kerlipan mata) demikian halnya dengan komputer disentuh pada kalimat dan mengindah-indah mereka itu akan sekian pekerjaan serta dengan lekas dan banyak."

Wan Mohd Shaghir berkata, pada masa itu, peralatan ICT secanggih kini tidak wujud kecuali telegraf berwayar, namun datuknya sudah dapat memikir dan menggambarkan penggunaan alat ICT secanggih kini seperti internet atau e-mel.

Tambahnya, ulama besar itu mempunyai tujuh jenis ilmu. Antara yang menakjubkan adalah ilmu membedah tubuh manusia (perubatan), menghasilkan emas 24 karat menggunakan bahan campuran yang bukan daripada emas (kimia) dan memperkenalkan tempat menyemai tanaman (pertanian).

Wan Mohd Shaghir yang membuat kajian dan penyelidikan mengenai ulama dunia Melayu, termasuk datuknya, pernah berkhidmat dengan Universiti Kebangsaan Malaysia serta Dewan Bahasa dan Pustaka. Menerusi Persatuan Pengkajian Khazanah Klasik Nusantara Malaysia (Pengkaji) yang didukunginya, beliau turut menghasilkan pelbagai karya penulisan dan mengadakan pameran mengenai Islam dan pelbagai tokoh ulama di Nusantara.

Pengkaji yang berpejabat di Taman Melewar, Batu Caves, Selangor pernah mengadakan pameran mengenai kehebatan ulama Melayu di Kuala Lumpur, Sarawak, Kedah, Indonesia, Brunei dan Thailand. Tulisan pakar pengkaji ini sekarang menjadi kajian dan rujukan di seluruh dunia seperti di Universiti Ohio, Universiti Leiden, British Library, Universiti Monash dan Universiti Brunei Darussalam.

Wan Mohd Shaghir berkata, antara sumbangan terpenting Syeikh Wan Ahmad Fathani bersama ramai anak murid serta ulama lain pada zaman itu adalah merintis pembangunan pendidikan masyarakat Melayu.

Syeikh Ahmad al-Fathani pernah diberi kepercayaaan oleh pemerintah Turki untuk memeriksa kitab sama ada dalam bahasa Arab atau Melayu pada 1884. Dalam usaha itu, beliau meminta pemerintah Turki mencetak secara besar-besaran kitab termasuk kitab Melayu/jawi.

Ideanya adalah sekiranya kitab itu boleh dihasilkan dalam masa singkat, ia boleh disebar dengan lebih meluas, sekali gus turut menyebarkan dakwah Islamiah. Cetusan idea itu adalah kerana ketika itu, golongan ulama dan penulis hanya dapat menyebarkan dakwah Islamiah dengan salinan kitab yang disalin daripada satu kitab ke satu kitab.

Dalam usaha memastikan Islam dapat terus berkembang dalam dunia Melayu, Syeikh Ahmad Fathani memperjuangkan supaya kitab Melayu/jawi dicetak dengan lebih banyak.

Sebagai tokoh ulama yang menguasai pelbagai bidang ilmu, Syeikh Ahmad al-Fathani juga memainkan peranan penting dalam institusi pendidikan pondok. Waktu itulah institusi pendidikan pondok menjadi begitu penting dalam masyarakat dunia Melayu. Kewujudan beberapa sekolah agama tersohor di negara ini adalah atas usaha gigih dan pemikiran ulama ini.

Syeikh Ahmad al-Fathani juga mengarang lebih 160 kitab yang secara umumnya terbahagi kepada tiga jenis iaitu kitab asli berbahasa Arab, berbahasa Melayu dan kitab yang ditashih. Tashih ialah kegiatan memeriksa kitab yang dihasilkan oleh orang lain sebelum dicetak. Beliau menjadi pentashih (pemeriksa) kitab pertama di alam Melayu dan yang pertama memperkenalkan istilah ini pada 1871.

Istilah tashih masih diguna pakai di seluruh dunia. Kitab yang ditashihkan oleh beliau merangkumi hampir semua karya Syeikh Nawawi al-Bantani, termasuk karya ulama seperti, Sayid Abu Bakar Syatha, Imam Sonhaji dan Jaafar Ismail ar-Barzanji.

Kitab asli berbahasa Arab karangan beliau antaranya adalah Jumanat al-Tauhid, Munjiat al-A'wam dan al-Shimar al-Syahiyah. Kitab asli berbahasa Melayu pula daripada Luqtat al-`Ajlan, Tarikh Turki Uthmani, Bisyara al-`Amilin dan `Iqdul Juma-an.

Seperti ulama alam Melayu lain, Syeikh Ahmad al-Fathani turut berpegang teguh kepada tiga bentuk asas agama Islam yang betul menurut jumhur ulama iaitu Fikah Mazhab Al-Syafiie, Akidah Ahlus Sunnah wal Jumaaah serta tasawuf dan tarikat.

sumber : http://mts.kelantan.edu.my